Tinta Pengerusi


Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.

Puji dan syukur tidak henti-henti mengalir dari muara hati kami atas nikmat dan ujianNya selama ini. Begitu pula tiada kata pujian yang layak dapat kami gambarkan buat jasamu, wahai Nabi yang kami muliakan. Sesungguhnya atas nama cinta kami hidup, dan atas nama cinta kami berjuang. Ya Allah, tiap detak jantung dan hela nafas kami adalah hitungan amal kami yang tertangguh. Maka ajarkanlah kami mendekati golongan yang sedikit.
Penubuhan Ikatan Penulis Mahasiswa Malaysia di Indonesia (IPEM) adalah sebuah terobosan baru. Setelah berpuluh tahun mahasiswa Malaysia mengabdikan diri atas nama ilmu di tanah kelahiran Syeikh Yusuf ini, belum pernah ada di antara mereka yang membangun semacam kelab atau perkumpulan yang hanya didasari minat semata-mata, kecuali kelab sepak bola. Yang lain secara umumnya timbul dan tenggelam tanpa disedari anggota komuniti yang lain.

Saudara-saudari yang dirahmati,

Walaupun kehadiran kami hanya bermodalkan cinta, itu tidaklah cukup untuk membentuk sebuah ikatan yang kuat. Jujurnya kami mengandalkan anda sebagai ahli untuk sama-sama membangun dan menyuburkan kelab ini. Sumbangan idea dan karya anda lah yang kami harapkan. Komitmen dan semangat anda lah yang kami tunggu-tunggu. Kami yakin masih ramai di antara kita yang menyembunyikan tinta mandraguna, merahsiakan kedahsyatan pena emas, dan mengunci rapi lembaran karya saktinya dari masyarakat. Manfaat yang dapat anda berikan sangatlah besar jika anda siap menggunakannya. Kerana itu kami cuba mencari titik-titik dalam diri kita agar dapat disambungkan menjadi sesuatu yang bermakna. Kami bukanlah yang terbaik, tetapi inilah bentuk kecintaan kami kepada bidang penulisan.

Saudara-saudari yang sealiran,

Medium kami buat masa ini lebih kepada aplikasi dunia maya. Blog IPEM sebagai sentral dan ahli sebagai jaringan karya. Setiap ahli yang mempunyai blog akan disenaraikan dalam blog IPEM sebagai link yang dapat dilayari oleh ahli lain. Kami menyarankan agar semua ahli IPEM mempunyai akaun blog masing-masing. Pun begitu, anda masih dapat mengakses blog ahli lain walaupun belum mempunyai blog sendiri. Namun kerana konsep kita adalah perkongsian fail (file sharing), anda diharapkan dapat memilliki blog atau setidaknya, menyumbangkan karya melalui email kepada IPEM.

Saudara-saudari yang bijaksana,

Indonesia merupakan negara yang paling mirip dengan segalanya tentang tanah air kita. Sebut saja tentang adat, budaya, makanan dan bahasa, pasti anda tidak dapat menafikan kita pernah mengalir dari hulu yang sama. Namun dengan perubahan waktu dan perkembangan zaman, Indonesia dan Malaysia banyak mengalami mutasi dalam pelbagai aspek. Variasi dari kedua-dua negara ini tidak dapat kami nilai selain sebagai sebuah rahmat. Terutama pada keindahan bahasa dan sasteranya yang telah lama menyadur hati kami. Ironisnya, kita berada di lokus tumpang tindih antara dua negara yang paling makmur untuk diri kita, namun tidak ramai yang benar-benar mengambil manfaat daripada situasi ini.

Saudara-saudari yang dihormati,
Wadah kecil ini yang cuba kita bentuk telah kami tampung dengan cinta dan harapan agar dapat bertahan selama beberapa waktu. Namun kita semua lah yang menentukan wadah ini semakin lebar atau pecah berderai menumpahkan isinya. Tidak ada yang dapat mengubah sesuatu keadaan melainkan kita sendiri yang menghulurkan tangan untuk mengubahnya. Mari kita jadikan IPEM sebagai medium untuk kita berkarya dan bermanfaat. Selamat bergabung bersama keluarga kami.
Ikhlas,

Muhammad Yazid Bin Sahak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s