Hadiah Hari Lahirku


Mengharungi samudera kehidupan, Kita ibarat para pengembara,

Hidup ini adalah perjuangan, Tiada masa utk berpangku tangan,

Setiap tetes peluh dan darah, Tak akan sirna ditelan masa,

Segores luka dijalan Allah,Kan menjadi saksi pengorbanan….

ImageAku bersyukur pada Allah…Tatkala aku meraikan hari ulang tahun ku yang ke 21 pada tanggal lepas sebagai musafir… Di medan perjuangan…

“Pernah tengok cerita Love is Cinta? Ingat tak time sang hero cuba hentikan masa ajalnya semata – mata nak luahkan perasaan cinta pada orang yang dia suka?” Perbualan kami menjadi semakin hangat, walaupun tiga dari kami sudah mula diulit mimpi. Aesya yang memandu sekali sekala mencelah, namun pandangannya tidak lepas dari Ankabut yang berada di depan.

“Dan kita semua tahu ajal maut telah tetap untuk kita. Pena telah terangkat dan dakwat telah pun kering.” Rakan disebelahku menambah, “Ajalkan perkara yang pasti, jadi tak perlu takut kepada ajal. Apa yang perlu kita risau adalah macam mana nak jadi baik sehingga ajal datang menjemput.”

Sedang kami asyik bercerita tentang soal rezeki dan ajal.. kami dikejutkan dengan dentuman dan imbasan putih disebelah kanan kami… aku seolah-olah tidak percaya.. dadaku berombak kencang. Hati ku terdetik, “Ya Allah, biarlah sekiranya ia terjadi.. biarlah ia bukan kepada sahabat kami… Janganlah Ankabut.” Kedengarannya seperti mementingkan diri, namun perasaan itu hadir kerana kasihnya aku pada mereka… semua macam perasaan bercampur –baur. Takut, gerun, gelisah, gementar… semuanya…

Aesya berhenti di laluan kecemasan. Aku dan sahabatku, hanya berdua keluar dari Unser kami. Terlalu gelap. Tiada lampu jalan yang menyuluh, tiada kereta lain yang lalu untuk kami tumpang simbahan cahaya mereka. Yang ada cuma cahaya malap telefon bimbit kecil kami. Sahabatku mula berlari, dan aku mengejar. aku berlari kuat… sekuat hatiku… mujur tiada kereta yang meluru laju tika deras langkahku makin hampir di tempat kejadian…

“Ya Allah… ” Ankabutkah itu??? Aku seakan – akan tidak percaya. Ankabut-kereta yang banyak menaburkan budi di medan da’wah ini menjadi begitu sukar untuk ku kenali… Hancur. Itu saja yang dapat aku gambarkan. Ankabut terpelanting keseberang jalan sana, betul – betul berada di lorong laju arah yang bertentangan. Batang besi yang memegang kejap tayar Ankabut selama ini, terkulai layu.

Hatiku berdebar saat aku melihat sekujur tubuh terlantar dijalanan… Dalam kegelapan yang memekat itu, mataku cuba mengecam milik siapakah tubuh dan erangan lemah itu…Nasyitah!!!.. Nasyitahkah itu???

Sayup-sayup kedengaran bacaan kaset al-quran daripada kereta itu. Adakah aku bermimpi?? Ya Allah, sedarkanlah aku dari mimpi ini. Biarlah ini hanya mimpi yang panjang. Ini hanya mimpi.. Biarlah sekejap lagi aku terjaga dari mimpi ini.. Kami baru sahaja menghadam tazkirah maghrib dari Kak Nor… Baru sekejap cuma kami mulakan perjalanan dan berpakat untuk berhenti di depan sana. Ya, perhentian kami di depan sana, bukan di sini… Seolah – olah terlayar di depan mataku, dari detik gembira bersama di tepian pantai bertukar menjadi tangisan hiba atas lumuran darah dan kesakitan. Ini bukan mimpi!!

Cepat – cepat aku bergerak ke belakang Ankabut, kulihat kak Afifah mengerang kesakitan… Aku cuba bertenang. Hanya ketenangan dapat memandu aku untuk membantu saudaraku itu. Aku bimbang. Bimbang sekali aku tak mampu menghadapi tragedi ini. Ku lihat wajah kak Afifah menahan kesakitan dengan senyuman. Terlintas dibenakku wajah para syuhada yang kembali kepada Allah bersama secangkir senyuman.

“Ya Allah, jika Engkau mentakdirkan syahid buat mereka.. Sungguh merekalah orang-orang yang beruntung.. Sungguh akan kucemburui diri mereka… tapi Ya Allah.. aku tidak sanggup kehilangan mereka.. tidak ya Allah.. demi da’wah ini…” Hati ku kacau bilau. Hanya doa yang bertasbih di bibir dan hati, tanpa henti. “Ya Allah, hanya Kau lah penyelamat kami.”

Aku terdengar seorang dari kami menghubungi talian 999. Dalam kegelapan malam dan hanya berbekalkan lampu telefon bimbit, aku tak mampu mengecam pemilik suara itu. Suaranya separuh tenang, dan kadang – kadang seperti mahu menjerit. “Ya Allah, berilah kami ketenangan dan kesabaran dalam menghadapi mehnah ini.”

Terasa, lambat benar ambulan menemui kami…

Terasa, udara malam ini pekat sekali…

Terasa, suasana sunyi dan kelam… dalam kami kelibut mencari…

Terasa, seolah – olah masa terhenti…

Terasa, Dia sedang memerhati…

Terasa…. benar – benar merasai…

Yang kami ini, cuma pelakon di pentas dunia….

Setelah hampir 15 minit kekalutan dalam gelap, terpancarlah cahaya dari lampu kereta pengguna lebuhraya lain. Ramai mula berkumpul dan membantu. Dan sungguh – sungguh aku memohon pada-Nya agar tiada jiwa yang hilang. Biarlah harta dunia pergi asalkan mereka selamat. Sungguh – sungguh juga aku berharap agar kami tidak diuji dengan perkara yang tidak mampu untuk kami hadapi… aku tak mahu kehilangan sahabat – sahabatku…

Setelah ada yang menenangkan kak Afifah, aku bertanya siapa lagi yang cedera.

“Nasyitah kak…Nasyitah…”

“Nasyitah?” mindaku cuba menggambarkan wajah Nasyitah… “yang mana satu? Siapa??” Aku membilang wajah – wajah sahabat Brunei yang kebanyakannya baru aku kenali semenjak 3 hari lepas…

“AllahuAkbar.. Tidak!!!.. Nasyitah yang aku sering ku usik itu?Tidak!!!…Nasyitah yang kutujukan cerita hujan hidayah itu? Allahuakbar” mahu sahaja aku terduduk saat itu. Aku mencarinya dikesesakan orang ramai..

“Kenapa tadi aku tidak perasaan Nasyitah sedang mengharungi waktu-waktu sukar???” Pertanyaanku kali ini hanya terhenti di situ. Dalam payah aku cuba juga untuk mendidik diri agar tidak mempersoalkan apa telah yang berlaku.

Terlihat Nasyitah didampingi sahabatku. Aku menghampiri mereka. “Nasyitah, ingat Allah Nasyitah… You are very strong dear.. you are so strong… sabar Nasyitah.. Allah ya Allah” lancar sahaja tutur bicaraku untuk menguatkan semangat Nasyitah. Kedengaran, suara – suara sahabatku yang lain bertasbih kepada Allah, memohon hanya kepada Allah. Sahabatku memangku kepala Nasyitah dan membisikkan semangat. “Nasyitah, hanya Allah sahaja yang dapat bantu kita. Hanya Dia yang dapat dengar kita. Minta Dia Nasyitah. Mintalah. Panggilah Allah.” Jelas sekali dihadapanku Nasyitah menyebut kalimat Allah, mengadu kesakitan yang dilaluinya.

“Ya Allah, kepala dia berdarah.” Suara sahabat yang memangku kepala Nasyitah separuh menjerit. Panik menerpaku seketika. Aku hanya mampu melihat apa yang berlaku. Mata Nasyitah sejak dari tadi tidak lepas – lepas memandang langit. Dia mengangkat tangan kanannya, dengan jari syahadah, menunjuk ke langit. Tiada apa yang mampu kami lakukan kecuali memanjatkan doa tanpa henti.

Orang awam yang berhenti memang benar – benar membantu. Ada yang datang dengan peti kecemasan, mencurahkan ubat luka pada bahagian kepala Nasyitah yang cedera. Ada yang menjaga lalulintas, ada yang menawarkan kereta mereka untuk menghantar sahabat – sahabatku ke hospital, malah ada yang tolong mengutip barang – barang yang bertaburan waima sepuluh sen cuma. Ramai juga dikalangan mereka yang berpesan kepada kami untuk berhati – hati dengan barangan.

Tiba – tiba, Nasyitah berhenti bernafas. Sahabatku meletakkan jari ke hidung Nasyitah. Kemudian, dia menekup telinganya ke dada Nasyitah yang tiada naik turun lagi. Pergelangan tangan Nasyitah disentuh dan dia bercakap dengan diri sendiri, perlahan tapi cukup untuk ditangkap oleh pendengaranku. “Dia perlu oksigen.” Aku lihat dia merapatkan mulutnya ke mulut Nasyitah, dan menghembuskan udara. Kemudian dia menekan – nekan dada Nasyitah. Berulang – ulang, hingga kemudian kami kembali mendengar erangan Nasyitah. “Alhamdulillah. Allahhu Akbar!! Nasyitah, jangan tidur. Fateha, cakap dengan dia, jangan bagi dia tidur.” Kami bergilir – gilir memanggil namanya, cuba bercakap dengannya. Keadaan itu dirasakan cukup getir. Tidak mungkin dapat digambarkan dengan kata – kata.

Alhamdulillah, ambulan mula tiba. Yang cedera parah, diangkat ke ambulan dan selebihnya menaiki kereta peronda ke hospital berdekatan. Sesungguhnya, Allah sahajalah sebaik-baik pelindung. Allah sahajalah sebaik-baik penolong

“Ya Allah, bantulah kami… tabahkan hati-hati kami… kuatkan lah mereka.. Kasihilah mereka… berilah kesabaran dan ketabahan buat mereka, sepertimana Engkau memberi kesabaran buat para RasulMu” doaku sambil mendongak kelangit, mengingatkan aku pada kisah Rasulullah saat mana bermulanya Badar alQubra….

“Ok..langkah yang begini… ambil 7 step, kemudian angkat sedikit hujung kakinya.. yang sana bulih dapat???” Aku tekun mengajar step tarian poco-poco pada sisters dari Brunei yang kelihatan excited mempelajarinya. Berada di tepian Pantai Batu Burok itu, kami bergelak ketawa ceria sambil mengusik antara satu sama lain. Baru sekarang aku memahami perasaan kasih kerana Allah.

“Kalau susah, kita ambil step ke kanan, kemudian kita kembali pada titik asal… macam kehidupan kita, kita kena selalu ingat untuk kembali pada asal, iaitu pada Allah, pencipta kita..” Walaupun kami menari;seolah ummu mukmin, Aisyah r.a. yg menari bersama muslimat meraikan kegembiraan hati, aku cuba juga untuk menyelitkan tazkirah agar hati – hati kami basah dengan zikrullah dan zikrulmaut… Sejurus selepas sama-sama menarikan rentak poco-poco yang diajarkan oleh uhktiku, Ummu, kami bergegas ke deretan kedai makan yang berdekatan untuk bersarapan.

Sebaik sahaja aku melabuhkan punggungku, Kak Pia datang mendekatiku… “Fateha, kita makan makanan semalam sahaja ek.. sisters Malaysia makan yang itu sahaja.. Naziah dah panaskan tadi”

Aku mengangguk setuju. Aku sedar yang kami perlu berhati-hati dalam perbelanjaan. Bukan semua orang yang buat da’wah ini bergaji besar. Tambahan pula student macam kami..hmmm… Tapi aku redha. Sebab da’wah telah mengajar ku untuk tidak bermanja-manja. Kesusahan dan kesukaran adalah tarbiah dalam mempelajari erti sebenar kehidupan. Tanpa teragak-agak, tanganku terus mengambil bekas polisterine yang mengandungi nasi goreng cina. “Kita share je lah Aesya” ujarku pada Aesya, bimbang sahaja aku akan kalah waktu menghabiskan nasi itu. “Biar berjemaah kalau makan pun…hee…” desus hati kecilku.

Saat itu, kelihatan Nasyitah dan Mie bergegas untuk turut mengambil makanan didalam polisterine, sama seperti kami. “Eh, antunna gi order makanan panas, ini untuk akhawat Malaysia…” Salah seorang dari kami melarang mereka kerana tetamu perlu didahulukan, mereka yang datang jauh dari Brunei perlu diberi layanan yang istimewa, takkan nak makan makanan semalam.

Aku melihat dari jauh.. dan aku dapati Mie dan Nasyitah, masing-masing berkeras untuk mengambil makanan itu. “Ah, degil betul mereka itu…bagus jadi da’ie…” Dalam hati kecilku kagum melihat mereka. Ternyata pada mereka kita sama sahaja. Tiada bezanya kami dari Malaysia, dan mereka dari Brunei. Ternyata mereka mahu sama-sama susah dan senang tak kira masa.

Kedua-dua mereka mengambil tempat bersebelahan dengan mejaku. Aku ingin sekali mengajak mereka makan bersama, tapi kecewa kerana mejaku sudah diduduki oleh sisters yang lain. Aku lihat Mie dan Nasyitah, kedua-duanya tekun memakan makanan yang diambil itu.

Tiba-tiba, hujan mula turun renyai-renyai. Lantas aku teringat saat Cik Nah bercerita tentang hidayah Allah yang sama seperti hujan. “Aesya, kamu tahu tak yang hidayah Allah itu umpama hujan?” Kucuba menarik perhatian Aesya, walaupun sebenarnya aku lebih menujukan kata-kataku pada Nasyitah dan Mie. Dan adab dalam bersahabat, walaupun sudah berbuih mulutku bercerita sebelum itu, Aesya tetap mendengar setiap butir bicaraku.

“Hidayah Allah itu umpama hujan… kena pada setiap tempat, penjuru dan ceruk. Allahlah yang mencampakkan hidayah itu.. setiap tempat akan kena pancaran hidayah itu. Dan tadahan bagi hujan hidayah itu adalah hati-hati manusia… terpulang pada kita, samada untuk membuka tadahan hati kita atau menutupnya… dan Aesya, bilamana saat kita bertanya tentang hidayah Allah, itulah permulaan hidayahNya”

Dalam hati, aku berdoa agar sepasang telinga dibelakangku, milik Nasyitah mendengar ceritaku. Dan aku tahu dia mendengar. Curi-curi dengar. Malu pastinya…tapi memang kepada dia aku tujukan cerita itu… kerana dari raut wajahnya, aku tahu dia juga mencari Allah… aku tahu, kami sama – sama dalam pencarian untuk mendamba hidayahNya…

Tiga minggu telah berlalu. Masih terasa hangatnya darah sahabat – sahabat yang mengalir. Masih terasa rindu pada Ankabut, pada pantai Batu Burok yang menyaksikan poco – poco kami, pada Pulau Duyong dan susuk tubuh tua yang setia menanti kami walau kami kelewatan kerana ber‘poco – poco’, pada nasi dagang kegemaran sahabat – sahabat Brunei, pada muzium Terengganu, pada kilauan Masjid Kristal dan replika masjid – masjid dari seluruh dunia, pada Pasar Payang, pada bot tambang, pada rumah homestay yang menyimpan memori gelak – tawa dan sendu – tangis kami… terlalu rindu pada semua yang ada bersama – sama ketika itu.

Kini, tiada lagi Ankabut untuk mengusung kami, darah luka sudah pun kering menjadi parut, sahabat Brunei juga sudah pulang dengan selamat. Nasyitah dan Azima pulang dua minggu lewat dari yang lain, dan kami di Malaysia terus bekerja dan mengejar ilmu. Bukan seperti biasa, insyaAllah lebih hebat dari sebelum ini.

Masih basah dalam ingatan saat Nasyitah mulai sembuh dari pembedahan untuk membuang darah beku di kepalanya akibat dari kemalangan itu. Aku dan Azima mengambil keputusan untuk terus menemani Nasyitah di hospital. Setiap hari aku tekun menjadi pengutus berita buat sahabat Malaysia, dan Azima untuk sahabat Brunei. Dari HDW ke ICU, kemudian ke wad biasa, dan ke HDW kembali, hingga dia keluar. Dan kalian, jauh atau dekat, tidak putus – putus menghantar bantuan dan sokongan, material dan juga gugusan doa. Hanya Allah saja yang mampu membalas semua kebaikan itu.

Nasyitah sememangnya sembuh dengan cepatnya. Ada beberapa siri dia tersedar dan menyebut kalimah “Allahhu Akbar”. Ada masanya juga dia menyebut, “Allah bersamaku” walaupun pada saat itu matanya terpejam erat. Aku dan Azima terhibur, dan dalam masa yang sama terasa terdidik. Kami mula mengenali keluarga Nasyitah yang datang dari Brunei. Mereka amat tabah dan sabar menanti Nasyitah pulih kembali.

Sarapan terakhir bersama Nasyitah, ku kira memberi pengajaran yang amat dalam dan berharga. Dia sudah mula pulih, dan bergerak, dan bercakap, dan duduk, dan berjalan, dan makan, dan ketawa seperti mana dia yang ku kenali dahulu. “Siapa yang pertama sekali Nasyitah nak jumpa sesampai di Brunei?” soalku menduga kerinduan hatinya. Maklum saja, ibunya tidak dapat berada di sisinya saat itu. Namun, yang terbit dari bibir mugil Nasyitah adalah, “Allah.” Dan jawapannya itu membuatkan hatiku bergetar. Terima kasih sahabat. Mengenalimu yang bernama Nasyitah Amal Bazilah, mengajarku erti semangat yang kuat. Kenangan ini adalah hadiah hari jadi terbaik untukku, juga pengalaman peribadi tersendiri untuk semua yang bersama ketika itu. Jaulah yang terlalu banyak pengajarannya. Terasa seperti kami ditarbiah, tanpa henti…

Dan kemudian, kami terpisah atas sempadan geografi, juga atas perbezaan nasionaliti. Kami terpisah pada jasadnya, namun pada hakikat, ruh kami menyatu. Kami berkasih sayang tanpa halangan, kerana ukhuwah kami ada dihati. Kami merindu, namun sentiasa tenang, kerana yakin kami akan sentiasa bertemu, dalam doa – doa kami.

-ummu tareeq-

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s