Report: IPEM’s Day Out


Assalamu’alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh,

Alhamdulillah ya Allah! Alhamdulillah wa syukruLillahi ta’ala.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Masih diberi nikmat peningkatan umur, masih dikekal nikmat Islam & Iman. Saya doakan semoga sahabat-sahabat juga sentiasa dirahmati Allah swt, dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam meniti kehidupan.

Setelah hampir sebulan merancang aktiviti pertama untuk mempertemukan semua ahli dan ajk IPEM, pada tanggal 31 Mei yang lalu telah mengukir kisah klasik untuk berlangsungnya IPEM’s Day Out bertempat di Bantimurung, Sulawesi Selatan, Indonesia. Seramai 25 orang yang turut serta di dalam aktiviti ala perkelahan ini memandangkan kebanyakan ahli IPEM lain mempunyai tanggungjawab yang perlu diutamakan. Setakat ini ahli IPEM sekitar 40 orang. Alhamdulillah.

Kami bertolak menaiki bas dari Rusun Unhas jam 7.50 pagi setelah bersarapan dengan nasi goreng masakan ajk IPEM. Doa permulaan perjalanan dibacakan oleh saudara Firdaus untuk kesejahteraan kelangsungan perjalanan sekaligus program kali ini. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 1 jam tidak begitu membosankan kerana pemandangan sekeliling yang begitu mendamaikan. Tenang memandangkan hijau luas terhampar di bumi Tuhan.

Ketibaan kami di Bantimurung di sambut mesra oleh unggas bersahut-sahutan. Suasana pagi yang menenangkan merupakan permulaan yang baik untuk kami, Alhamdulillah. Kelihatan tidak ramai pengunjung tiba sebegitu awal di kawasan air terjun ini, membuatkan kami mempunyai kelapangan untuk memulakan aktiviti dengan lancar tanpa risau akan gangguan yang tidak diperlukan. Setelah memilih kawasan yang sesuai, kanvas dibentangkan dan niat diperbetulkan.

Perjalanan aktiviti dimulakan dengan ucapan aluan oleh saudari Halaa mewakili saudara Yazid yang berhalangan untuk datang; memperkenalkan IPEM kepada semua ahli. Segala misi dan visi diterangkan dengan mengharapkan ahli mempunyai penghayatan ke arah mana IPEM mahu berkembang dalam arena sastera merangkumi penulisan mahupun pembacaan.

Tanpa mengambil masa yang lama, aktiviti pertama untuk sesi ‘Ice-Breaking’ di mulakan. Satu rangkap pantun 4 kerat di bacakan oleh ajk IPEM untuk setiap pasangan ahli IPEM dan mereka perlu mendengarkan 2 nama yang terdapat di dalam pantun tersebut sebagai tanda itulah pasangan mereka yang akan bekerja untuk sesi memperkenalkan diri nanti. Dia dan pasangannya harus memikirkan cara untuk memperkenalkan diri masing-masing dalam bentuk genre-genre yang terdapat dalam sastera seperti pantun, syair, cerpen, lakonan, surat dan sebagainya.

Alhamdulillah, dalam meriah berkenalan kami juga kering gusi menambah mesra dengan pelbagai gelagat ahli IPEM yang ceria-ceria belaka pada pagi tersebut. Memang mereka kreatif dalam mempersembahkan hasilnya. Ada yang berpantun, bersyair, menulis surat, berpuisi dan yang lebih menonjol lagi dengan berlakon. Kagum dengan semangat mereka!

Setelah semuanya memperkenalkan diri, aktiviti diteruskan kepada ‘Bedah Sastera’. Terdapat 4 kumpulan kecil diwakili oleh saudara Ruqnuddin membedah sajak karangan Chairil Anwar bertajuk ‘Aku’, saudari Azzahra membedah filem pendek ‘Mengejar Matahari’, saudari Iman membedah puisi karangan Usman Awang bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ dan saya membedah cerpen karangan Ghafirah Idris bertajuk ‘Telah Diberinya Hati’. Tempoh masa yang diberikan adalah 45 minit dan seterusnya setiap kumpulan membentangkan hasil perbincangan mereka untuk dikongsikan bersama yang hadir. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik, nampaknya ada sesuatu yang semua orang dapat. InsyaAllah, semua tidak pulang dengan tangan kosong melihatkan kepada hasil pembentangan yang disampaikan. Semestinya karya yang baik adalah yang mempunyai nilai tinggi yang mampu di garap oleh pembaca selain penulis sendiri. Nilai yang tinggi membolehkan pembaca memperolehi ‘sesuatu’ dari karya tersebut. Dengan demikian tidaklah dikatakan penulis syok sendiri dengan karyanya. Ada pemurniaan kefahaman di antara penulis dan pembaca dalam menghasilkan sesuatu karya biarpun hanya pantun 2 kerat. Wallahu’alam.

Sesi inspirasi yang disampaikan oleh saudara Nabil tidak kurang mendedahkan ahli IPEM kepada sumber untuk memperolehi ilham dalam berkarya. Semestinya dari Al-Quran itu sendiri terdapat petunjuk dan petanda untuk mendapatkan ilham dalam garapan sastera. Sastera di dalam Islam itu adalah gerakan atas ke bawah umpama graviti yang mana kepercayaan kepada Tuhan mendahului segala yang lain. Bermakna paksi dan pantulan karya yang dihasilkan adalah bersumberkan kepada Yang Khaliq dan biasannya kembali kepada kemurniaan yang dianjurkan oleh Islam.

Kemudian, aktiviti bebas diadakan untuk semua. Ada yang mengambil peluang untuk mandi-manda dan hanya sekadar bergambar di kawasan air terjun tersebut. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk menghadirkan ilham untuk berkarya dari suasana alami itu. Semestinya masa yang berbaki dimanfaatkan sebaiknya oleh semua. Pada jam 1.45 tengahari kami berkumpul untuk terakhir kalinya menutup aktiviti kali ini dengan bacaan doa Rabitah, pengikat hati kami semua. Sebelum pulang kami sempat bergambar dengan semua yang hadir untuk merakam kemas memori di balik foto pula.

Sesungguhnya program yang dirancang ini bertujuan untuk memperkenalkan ahli IPEM sesama mereka dan memupuk hubungan yang erat di antara satu sama lain. Di samping itu, kami ingin mengetahui bakat dan minat masing-masing lebih tertumpu kepada genre yang mana. Dengan demikian, program yang bakal menyusul selaras dengan minat kebanyakan ahli IPEM, insyaAllah. Saya mengukir senyuman ketika membaca salah satu feedback ahli yang menyatakan aktiviti ini mengingatkannya kepada sesuatu yang pernah dia minati dahulu. Dalam hati, saya berdoa semoga minat itu kekal tumbuh subur menghijau kembali bersama IPEM, insyaAllah. Benarlah minat sahaja tidak memadai jika tiada motivasi untuk menggerakkannya, dan motivasi bukanlah sesuatu yang kekal, ia turut pasang dan surut ibarat ombak di lautan. Memerlukan kepada motivasi sama seperti perlunya kepada makan dan minum; setiap hari dan melebihi sekali di dalam sehari. Oleh yang demikian, sama-samalah kita bergerak untuk keperluan bersama IPEM, insyaAllah.

Berakhirnya IPEM’s Day Out meninggalkan seribu satu kenangan terindah terpahat di sanubari masing-masing. Semuanya pulang dengan memori tersendiri. Selaku setiausaha IPEM, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah sudi hadir ke program pertama ini, sanggup meluangkan masa untuk bersama kami, semoga ia mampu mencuit hati anda dan yang lain untuk turut hadir bersama program IPEM yang bakal menyusul insyaAllah. Kepada ajk IPEM, sekalung penghargaan untuk jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan untuk kelangsungan program ini, moga ia dinilai sebagai ibadah dalam memberatkan neraca kebaikan di akhirat kelak. insyaAllah. Segala yang kurang dan kelemahan kami dari pihak penganjur, sejuta kemaafan di pohonkan. Semoga program yang mendatang lebih baik dan memuaskan, insyaAllah. Tanpa anda semua, mana mampu IPEM’s Day Out berlangsung dengan jayanya.

Wallahu’lam.

Lakaran kenangan,
Nor Maisarah Mohamed Shukri
Setiausaha IPEM
Hasanuddin University, Makassar
Sulawesi Selatan, Indonesia.

8 thoughts on “Report: IPEM’s Day Out

  1. Salam. terima kasih mai…terima kasih semua yg bertungkus lumus lebih2 lagi zahra yg x tidur malam memasak…terima kasih yazid yg sudi jugak menghantar kami walaupun xdpt pergi bersama… terima kasih ruq for arranging the transport so nicely, terima kasih nabil menjadi penyedia peralatan yg sanggup berlapar di atas motor sepanjang perjalanan ke bantimurung, terima kasih firdaus yang banyak memberi sokongan dan bantuan, dan sgt2 terima kasih kak halaa for being so spirited and concern along the time during the program…and special for all IPEM members, thx for joining and making the program so memorable! For those who couldn’t make it, keep on supporting! IPEM for ALL!

  2. Allahu Akbar 3x!
    MasyaAllah, walaupun saya tak dapat hadir untuk menyaksikan pertemuan pertama kita, uraian dari saudari Maisarah sudah mencerahkan segalanya. Saya sangat gembira bila komitmen setiap dari kita telah menumbuhkan sesuatu yang sangat kita hargai, dan hanya dapat dinikmati dengan penglibatan dari setiap anda yang hadir, Alhamdulillah. Harapan IPEM kepada semua ahli agar benar-benar memanfaatkan kelab kita sebagai baja untuk menyuburkan bibit kecintaan anda dalam bidang penulisan, dan menjadi batu loncatan kepada yang sudah mampu menghasilkan karya masterpiece nya untuk di bawa ke tingkat yang lebih tinggi. Tidak terlalu mendesak jika saya nyatakan perkembangan IPEM di Makassar berjalan selaras dengan semangat antusiasme dari ahli khususnya. Jelas, kita adalah sebuah ikatan yang terbentuk dari kecintaan dalam daerah jiwa yang sama. IPEM adalah kelab kita bersama, milik kita bersama, dan juga dinikmati bersama. Sebarang komentar untuk menjadikan kinerja kelab kita lebih optimum bolehlah disampaikan kepada AJK supaya dapat diproses menjadi sesuatu yang mampu dilaksanakan dan bukan impian semata. Kami mengalu-alukan penglibatan semua ahli IPEM secara aktif dalam setiap program IPEM, termasuk rumah Blog kita yang dibangun dengan keindahan bunga-bunga cinta dan haruman mewangi ukhuwwah persaudaraan. Semoga anda dapat memberi dan mengambil manfaat dari IPEM.
    Satu harapan. Satu tujuan. Nikmati bersama.

  3. Alhamdulillah,

    Nice rememberance for everyone😀

    Al-Hasan al-Basree, raHimahullaah, said: “Whoever learns something in the name of Allaah, seeking that which is with Him, he will win. And whoever learns something for other than Allaah, he will not reach the goal, nor will his acquired knowledge bring him closer to Allaah.” [Related by Ibn ul Jawzee]

  4. Alhamdulillah….selesai gak xtvt ni akhirnya wlpn spanjang perjalanan sy tak dpt dok diam memikirkan hal2 yg blom selesai, tp semuanya berjalan dgn lancar & baik. tq pada sume kwn2 ajk yg buat tugas dgn baik. yazid patut berbangga menjadi ketua kpd ajk yg bleh diharap, mcm halaa yg sanggup galas tugas presiden, zahra yg lebam mata tak cukup tdo sbb masak, nabil & mai yg byk bg inspirasi pd sume org, iman & daus yg pastikan objektif IPEM tercapai & berada pd landasan yg btul. tq pd kwn2 yg byk bg pengalaman br. sy hargai kehadiran kwn2 sekalian dlm idup sy & sy harap langkah kita bkan berhenti di sini shj. Wassalam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s