Cakap…


“Jangan banyak berbicara tetapi tidak membicarakan apa-apa”. Kata-kata Dr. Mahmud Ghaznawi pada ketika itu memang kena tepat pada waktu dan tempatnya. Ketika itu aku sudah cukup bosan mendengar presentasi dari kumpulan-kumpulan yang terpilih untuk membentangkan hasil diskusi mereka untuk Problem Based Learning (PBL). Mana tidaknya, dari awal sampai akhir, isi yang sama diulang-ulang. Bila diajukan pertanyaan, jawapan yang diberikan jauh menyimpang dari persoalan. Mereka bukannya menjawab soalan, tetapi sekadar menceritakan apa yang mereka tahu, hatta perkara yang sangat umum dan rata-rata diketahui oleh semua orang. Memang banyak mereka membebel, tetapi apa yang aku sedar ialah persoalan yang sebenar masih tak terjawab. Mereka bercakap sekadar untuk mengalihkan perhatian orang dari persoalan yang sebenar. Hari itu merupakan hari yang paling membosankan kerana ramai manusia yang bercakap, tapi tiada isi.

Bila berbicara soal bercakap, perkataan ‘cakap’ sendiri boleh didefinisikan sebagai bicara atau komunikasi menggunakan perkataan. Ada manusia yang suka bercakap sampai tidak ingat dunia, ada juga manusia yang lebih suka berdiam. Ada manusia yang gaya berceritanya hebat, cakap berapi-api, tapi isinya tidak lebih dari cakap kosong semata-mata. Ada manusia yang bercakap tidak menggunakan sebarang efek atau kesan khas dalam pertuturannya tetapi mesejnya sampai dengan jelas dan memberi kesan. Dalam soal ini kita ingin menjadi yang mana? Tepuk dada tanya selera.

Dalam satu kajian tidak rasmi, saya dapati orang yang banyak bercakap dalam sesuatu mesyuarat, cerita berapi-api untuk menarik perhatian orang lain, biasanya akan senyap tatkala melakukan kerja. Dalam bahasa mudahnya, tidak buat kerja! Bukan sekali dua, tapi sudah banyak kali saya saksikan hal yang sama. Kalau difikirkan, ungkapan ‘talk is cheap’ memang banyak betulnya. Bila direnungkan balik, macam mana pula dengan ungkapan ‘kerbau berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji atau kata-katanya’? Selaku manusia yang ada pegangan agama, kita perlu berpegang pada kata-kata kita tetapi ada yang mengatakan ‘talk is cheap’, bererti kata-kata kita tidak berharga dan kata-kata kita bukannya suatu jaminan. Jadi kita nak berpegang pada ungkapan yang mana satu? Silakan tepuk dada sekali lagi.

Hari ini kita dapat lihat ramai manusia yang pandai bercakap dan mampu menarik perhatian orang lain ketika bercakap. Ada sesetengah manusia yang mampu menarik perhatian orang untuk mendengar ucapannya tatkala dia baru saja membuka mulut. Manusia-manusia sebegini mampu untuk mengekalkan konsentrasi orang lain untuk mendengar ucapannya. Ada juga manusia yang cuba sedaya upaya untuk menarik perhatian orang lain ketika memberikan ucapan, tetapi gagal. Adakah kegagalan itu berpunca daripada penampilan yang kurang menarik, suara yang tidak cukup lantang, paras rupa yang tidak menarik atau banyak lagi faktor-faktor lain? Adakah kebolehan bercakap ini merupakan satu bakat semulajadi atau mampu diperoleh melalui latihan berterusan? Kalau ditanya pada saya, jawapannya ialah semua orang mampu bercakap di hadapan orang ramai tetapi ada manusia yang dikurniakan kebolehan berucap ini secara semulajadi dan ada manusia yang perlu berlatih untuk mendapat kebolehan ini.

“Saya minta maaf kalau sepanjang pengajian kita ni saya ada buat salah dan silap terhadap kamu semua. Maklumlah, kerja saya ni memerlukan saya bercakap banyak, bila kita banyak bercakap ni makin banyak kesalahan kita buat, makin banyak kelemahan diri kita orang nampak”. Ini adalah antara kata-kata ustaz saya ketika kuliah terakhir sebelum kami menduduki peperiksaan akhir semester. Bila direnungkan kata-kata ustaz ini memang banyak betulnya. Teringat pula pesan Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.”(diriwayatkan oleh Baihaqi). Jelaslah di sini orang yang suka dan banyak bercakap lebih terdedah untuk melakukan dosa yang kadangkala tidak disedari.

Terbaca pula satu ungkapan Imam Nawawi dari sebuah artikel di internet, “Ketahuilah, seseorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya daripada sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri. Hal ini kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh.” Bila merenung kata-kata ini, ada betulnya apa yang dikatakan oleh Norman, Yusry dan Edry dalam lagu mereka bertajuk ‘Fanatik’. Dalam lagu tersebut, trio bersaudara ini ada mengatakan ‘diam adalah pintar’. Pada pandangan saya, orang yang diam adalah orang yang pintar jika percakapannya tidak mendatangkan apa-apa hasil.

Ternyata bercakap bukanlah suatu kerja mudah jika kita betul-betul menjaga percakapan kita. Kalau mahu diumpamakan, burung tiung dan burung kakak tua juga mampu bercakap jika dilatih, tetapi bezanya dengan manusia ialah manusia mempunyai otak yang dapat digunakan untuk berfikir dengan lebih baik berbanding burung-burung tersebut. Manusia mengerti apa yang mereka perkatakan tetapi burung tidak. Sebagai penutup, hayatilah kata-kata dari seorang ustaz yang saya pegang sehingga ke hari ini, “Bercakap bila perlu, untuk menunjukkan kita tahu dan mengambil tahu”. Wassalam…..

 

Moral of the story: Kurangkan bercakap, banyakkan menulis…….

 

2 thoughts on “Cakap…

  1. Salam, minta tolong wakil IPEM yang terima emel jemputan bengkel penulisan GKLN-DBP supaya forwardkan kepada ahli IPEM yang berdaftar…ie ahli yang berdaftar dengan IPEM

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s