Puisi Pemenang MPI


Sebelum saya meneruskan entry seterusnya, izinkan saya berkongsi kegembiraan saya di sini kerana sayembara kali ini berhasil memujuk ramai penulis baru untuk berkarya. Tidak kurang juga dalam meningkatkan semangat penulis lama untuk turut memperbaiki mutu penulisan mereka. Kami pihak juri masih ingin berkongsi setiap komen dan ulasan kami dalam setiap karya, mungkin kita boleh buat satu slot khas untuk itu. Bukanlah dengan niat apa melainkan untuk memperbaiki penulisan kalian juga memandangkan ramai juga penulis yang ternyata mempunyai bakat yang tinggi walaupun belum pernah menulis sebelum ini.

 

Sayembara kali ini dijalankan sepanjang Minggu Penghayatan Islam (MPI) yang dianjurkan selama seminggu. Saya fikir faktor yang menyebabkan melambungnya penyertaan Sayembara sehingga Sayembara kali ini menjadi pertandingan paling hangat minggu itu adalah kerana minggu itu dibuka dengan Bedah Buku Laskar Pelangi oleh Aan Mansyur. Kritikan dan komen pedas dan hangat yang diberikan oleh beliau telah menyuntik semangat dalam diri setiap ahli IPEM dan PKPMI untuk berlumba menghasilkan karya sendiri yang diharapkan dapat lebih baik dari Andrea Hirata. Sesuai dengan pesanan beliau; “untuk menjadi penulis yang baik hanya ada satu cara iaitu menulis, menulis dan menulis”. Dan hasilnya, kami para juri kewalahan menilai penyertaan karya yang melonjak, alhamdulillah. Teruskan menulis sahabat-sahabatku…

 

Atas permintaan ramai, di sini saya akan melampirkan puisi pertama, kedua dan ketiga yang berjaya mencuri hati kami. Buat yang kurang bernasib baik, jangan berputus asa. Karya anda tidak kalah hebatnya dengan ketiga-tiga puisi ini. Hanya saja kami harus juga memilih tiga yang dirasakan layak atas dasar amanah dan tanggung jawab. Kami akan turut melampirkan karya puisi lain dalam slot-slot akan datang. Di sini juga saya ingin mencuri peluang mengucapkan tahniah kepada para pemenang. Terima kasih juga saya kalungkan buat Aan Mansyur dan GKLN atas sokongan yang tak henti-henti mereka salurkan buat kami di Indonesia. Seterusnya, selamat menikmati puisi-puisi mereka~!

 

Tempat Pertama

Judul: Senandung Tiga Irama

Dendangkan setangkai baris Kahfi,

agar aku dapat menari

dalam gua iman dan tenang

insan tak lagi kupandang

gemalaiku persembahan khalwat.

 

Ancamkan sekerah Lahab dan Taubah!

Bagai guruh yang menggugah begar nafsu

biar ia kaku

dek titis rasa hamba yang membasahi

hingga menegak roma dan menggetar atma.

 

Lagukan seuntai khabar Badar!

Agar putik menjadi mekar,

di pentas girang berputar kerana

dipakaikan kacamata kirana

hijab terbuka menembus langit ke tujuh

jiwa tak lagi tengkujuh

menanti janji, terus menggenggam panji.

 

Karya: Nurul Iman Abdul Rahim (batch 2005)

 

Tempat Kedua

Judul: Bidadari

Tetapkan menyala api di matamu

membakar semarak semangatku

bicarakan hikmah mendidik

melebur besi hatiku

jemarimu sutera membelai

genggam kaku tanganku erat

kuburu santun jiwamu

memapah liku jalan juangku

dan kita lari bersama

telusuri denai pengorbanan.

 

Bingkisan senaskhah rindu

untukkanlah buatku!

Andai masih ada ruang dalam hatimu

yang sarat dengan cinta, kutahu pasti

tercipta buat yang lebih tinggi dari mayapada.

 

Sepercik air di lautanNya yang terdalam

serangkap irama yang terindah nan merdu

lalu kau menembusi langit dunia dan semesta

apabila segalanya lenyap

melainkan bayangan wajahNya

maka ketika itulah

aku menyerumu menerangi,

mengabdi pada Yang Khaliq.

 

Karya: Nor Maisarah Mohamed Shukri (batch 2006)

 

Tempat Ketiga

Judul: Hari Ini, Palestin

Hari ini,

Hatiku tercalar lagi,

Remuk, sayu.

Luka lama berdarah kembali

Hatiku terhiris lagi..

Lebih hebat dari yang dulu..

Ya Tuhan,

Hebatnya ujian ini!

Terhadap saudaraku di Palestine

Tangis sendu mereka terdengar lagi

Bagai terngiang di cuping telinga

Dekat dan merintih manja

Menggoncang jiwa

Menyiksa batinku..

 

Hari ini,

Hatiku menangis lagi..

Terbayang bayi comel itu..

Yang merah pipinya..

Yang bergenang air di matanya..

Kanak-kanak yang memegang senjata itu

Tidak terkecuali yang memegang batu

Yang besar hatinya..

Yang bersinar iman didadanya..

Bukan cuma sekadar pengharapan!

Kanak-kanak sekecil itu..

Sudah mengenal erti sebuah kehidupan

Memaknai keamanan.

 

Ibu ayah mereka kini syahid

Saudara mereka maruahnya dilanyak

negara mereka dirobek rakus

Hidup mereka kian pupus

Pemimpin mereka kini semulusnya

Mengikat janji

Malara damai

Yang tidak kunjung

Kerana bangsa yang menggila itu

Bukan pemberi simpati

Dan rakusnya mereka meratah

Tubuh-tubuh yang tidak bersalah.

 

Berjuanglah Palestin

Dengan nama agama yang mulia

Dengan nama tuhan yang Esa

Kita hujankan mereka dengan sejuta doa.

Cukuplah dulu hanya sebagai pemerhati

Gelombang kesedaran ummah harus ditiup segera

Sebagai bukti cinta

Kerana Allah

Untuk saudara di Palestine

Yang sentiasa diingati.

 

Saudaraku tercinta

Terimalah bingkisan doa kami

Bekalan senjata kamu semua.

Allah sentiasa bersamamu

Setiap detik,setiap masa

Yakinlah saat itu pasti tiba

Tanah kita pasti terbela!

 

Karya: Fathiah Syahirah Mohd Ghazali (batch 2007)

 

Yang Menjalankan Tugas,

Halaa Burhanuddin,

Timbalan Presiden,

IPEM Makassar.

One thought on “Puisi Pemenang MPI

  1. Salam. kagum, dgn puisi senandung tiga irama tu. best sgt.. keseluruhan puisi ini terkesan,pd sy lah.. especially : ‘Ancamkan sekerah Lahab dan Taubah!
    Bagai guruh yang menggugah begar nafsu’
    -takut dgn istilah ancam tu..

    tapi..cuma rangkap ketiga kurang dimengerti skit. ade sesape bleh share ape yg dia phm? =]

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s