Perjuangan penulis muda: Perjuangan apa?


Oleh Baha Zain
bahazain.blogspot.com

Generasi baru berdepan cabaran apabila bahasa Inggeris dianggap lebih berdaya saing

PADA 22 hingga 24 Mei ini sekumpulan penulis muda berhimpun di Melaka Bandar Raya Bersejarah. Apakah mereka akan menangani masalah sejarah tertentu atau mengimpikan sesuatu yang gemilang pada masa depan, baik atas nama peribadi atau suatu gerakan. Pokok perbincangan menjurus kepada: ‘Perjuangan Penulis Muda: Arah dan Cabaran’, ungkapan yang bersifat umum dan lebih cenderung kepada sebuah pertanyaan.

Empat tahun yang lalu kumpulan penyelenggara serta petugas yang jumlahnya kira-kira sama mengadakan perhimpunan besar yang pertama, 3 hingga 6 Jun 2005 di Tanjung Piai Resort, Pontian, Johor. Di situ masing-masing mengemukakan pandangan, harapan, cadangan dan malahan kritikan terhadap landskap persuratan semasa.

Pada umumnya dapatlah dirumuskan bahawa itu pertemuan untuk mengemukakan idealisme orang muda yang sangat ekspresif dan kritis terhadap lingkungan masyarakat dan budayanya, meskipun tidak menjawab segala permasalahan dengan jawapan yang konkrit dan terencana tindakannya.

Apakah pada kali ini mereka akan menetapkan apa perjuangan yang mahu diperjuangkan, ke mana arah hendak dituju dan dapat mengenal pasti satu persatu cabaran yang mungkin dihadapi seperti bagaimana perunding pengurusan mengajar pengarah urusan korporat menganalisis kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman dalam pemetaan arah masa depan dunia perniagaan?

Kedua-dua pertemuan, dulu dan kali ini menumpang bumbung Rumah Pena dan bangunan agam Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk petugasnya bermesyuarat, merancang dan membuat persediaan. Hampir setiap orang daripada petugasnya adalah orang muda, bakat pengarang dan penggiat yang ghairah dengan persuratan. Baik dan buruk, berjaya tidaknya adalah tanggungjawab mereka.

Sebagai seorang yang pernah turut mengatur pertemuan penulis ketika zaman muda, saya tidak boleh mengkritik banyak keghairahan orang muda yang suka berhimpun. Ini adalah satu proses sosial yang dicetuskan oleh perasaan tanggungjawab terhadap masalah bersama, dan idealisme yang cuba menyempurnakan cacat cela dunia zamannya. Barangkali ini adalah proses kematangan alamiah yang terpaksa dilalui oleh orang yang dianugerahkan dengan hati nurani yang suka berkorban untuk orang lain.

Apa bezanya daripada pengalaman yang pernah kami lalui menyelenggarakan kegiatan seperti itu di Pena dan DBP pada 60-an bersama-sama penulis muda seperti Allahyarham Salleh Daud dan Hassan Ibrahim (kemudian bergelar Datuk) dan Bakar Hamid (sekarang Prof Emeritus)? Kami juga pada waktu itu baru saja mencecah usia 30-an dan Usman Awang pun baru 40-an.

Penulis muda yang terbabit sekarang jauh lebih canggih pendidikan, pembacaan dan kemudahannya. Selain itu, lebih lebar ruang kreativiti dan liku-liku persoalan yang dibahasnya.

Mereka berbicara segala macam teori dan pendekatan yang pada zaman dulu tidak kami kenal istilahnya, apa lagi konsep dan ruang lingkup permasalahannya. Apa yang menjadi topik dialog pada zaman dulu lebih tertumpu pada perkara yang asas seperti perjanjian hak cipta, kadar bayaran royalti, kursus penulisan, penerbitan majalah khas sastera, mengadakan majlis pembacaan puisi, ceramah serta forum, dan hadiah penggalakan. Kebanyakan kegiatan dan fikiran dialog dicurahkan bagi mengisi kemerdekaan dan memajukan bahasa kebangsaan, sastera dan kebudayaan supaya menjadi medium pengucapan kebangsaan bersama, lambang jati diri dan ejen pemersatuan bangsa.

Tidaklah pula boleh dinafikan bahawa bersamaan dengan perjuangan kolektif, terselit juga impian peribadi untuk menjadi terkenal dan diiktiraf nama, tetapi hasrat itu menjadi impian sampingan kerana halangan dan sisa budaya imperialis masih bercokol untuk dilawan. Walau bagaimanapun, kerjasama antara penulis kreatif, lepasan Universiti Malaya dan wartawan nasionalis di akhbar seperti Allahyarham Samad Ismail, bahasa dan sastera berkembang dan memberikan dampak yang ketara.

Lama-kelamaan pelbagai peluang, kemudahan dan hadiah penulisan diwujudkan pada dekad 70-an. Sehingga hari ini kemudahan dan hadiah berkenaan seolah-olah menjadi ciri khas yang menonjol dalam perkembangan sastera kebangsaan dan malah menjadi sasaran serta tujuan penulisan dari musim ke musim. Ramai yang berangan-angan hendak memenangi Hadiah Sastera Perdana, Hadiah S.E.A Write dan juga mengidam untuk menjadi Sasterawan Negara, suatu kemuncak impian kehidupan dengan pelbagai kemudahan dan kemuliaan dunianya. Perjuangan bahasa dan sastera yang sebenar dicuit-cuit seadanya saja.

Pada hari ini, kita dapat membaca analisis dan kritikan sastera melalui teori dan pendekatan yang pelbagai aliran seperti Absurdisme, Eksistensialisme, Kajian Budaya, Pascakolonial, Dekonstruksi, Historisisme, Kata Kunci, Pascamodenisme dan Orientalisme. Tidak kurang pula perbahasan mengenai pendekatan yang dilagang oleh sarjana tempatan seperti Takmilah dan Poetika Sastera Melayu.

Perbezaan yang ditunjukkan oleh penulis generasi muda ini menandakan kemajuan pendidikan kemanusiaan dan celik huruf bangsa kita. Hanya barangkali apakah tanda kemajuan ini dapat memecahkan banyak halangan zaman dan memberi jalan keluar bagi memenuhi hasrat kebudayaan yang lebih unggul dan rumit atau hanya menjadi latihan kecendekiawan pada saat berwacana dan berhimpun.

Jika pada zaman 30 hingga 40 tahun yang lampau, masalah yang besar ialah untuk mengadakan yang tiada, yang belum subur montok, tetapi pada masa sekarang ada masalah yang lebih besar dihadapi oleh penulis muda, iaitu melawan arah tergelungsur ke bawah bahasa Melayu daripada kedudukannya sebagai alat pengucapan ilmu dan persuratan.

Penulis muda secara intelektual dan ilmiah berhadapan dengan establishment yang sudah terperangkap dalam dilema politik budaya. Ini bukan kerja kecil dan mudah yang boleh diselesaikan sebulan atau dua bulan. Perlawanan ini, justeru memerlukan semangat yang keras dan keyakinan yang kuat kerana penulis muda bukan saja berhadapan dengan asakan globalisasi, tetapi berhadapan dengan politik yang berkuasa di dalam negara.

Ini bukan masalah teks lawan margin, atau pusat lawan ‘the other’ dalam pembicaraan kritikan sastera, tetapi perlawanan yang nyata dalam kehidupan yang nyata setiap hari.

Menulis dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu yang sejak merdeka (1957) secara rasmi digalakkan kerajaan, terutama melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, kini menghadapi masa depan yang suram apabila bahasa itu tidak akan berkembang hebat sebagai bahasa ilmu kerana bahasa Melayu sudah dicabut peranannya sebagai bahasa pendidikan sains dan teknologi serta pada masa sama, disaingi bahasa Inggeris yang dianggap kunci bagi kemajuan masa depan negara.

Inilah senario kebahasaan dan persuratan sekarang. Tanpa berdolak-dalik lagi, inilah cabaran sebenar dihadapi penulis muda. Apakah isu ini akan dicuit-cuit seadanya saja pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s