NOVEL LASKAR PELANGI: REVIEW++


 

laskar

 

Pendidikan merupakan aspek utama dalam pembangunan masyarakat sesebuah negara. Novel ‘best seller’ ini dikatakan mampu menjadi landasan untuk merubah pandangan umum terhadap dunia pendidikan. Novel ini menceritakan tentang kehidupan sepuluh orang sahabat yang bersekolah di sebuah sekolah kecil lagi miskin, SD Muhammadiyah.

SD Muhammadiyah merupakan sekolah tertua di daerah Belitong dan mungkin juga sekolah Islam pertama di Sumatera Selatan, Indonesia. Sepuluh orang sahabat cilik tersebut mendapat jolokan ‘Laskar Pelangi’, yang menjadi tajuk kepada novel hasil karya Andrea Hirata ini. Buku yang mempunyai lebih dari 500 halaman ini telah diangkat menjadi sebuah filem dan dikatakan sebagai ‘Indonesia’s Most Powerful Book’.

Sekadar untuk pengetahuan, IPEM pernah mengadakan acara bedah buku Laskar Pelangi pada Disember tahun lalu. M. Aan Mansyur, seorang sasterawan tempatan telah dijemput sebagai pembahas buku ini. Seharusnya ‘posting’ ini hadir lebih awal, akan tetapi ketika acara bedah buku tersebut saya belum pernah membaca novel ini malah belum memiliki naskahnya. Disebabkan itu, saya merasakan tidak adil untuk membahas tentang sesuatu karya yang belum pernah saya baca.

Mungkin ramai yang sudah membaca novel ini atau ‘review’ tentangnya. Saya sekadar ingin berkongsi sedikit pendapat tentang novel ini dan kutipan-kutipan yang saya dapat semasa menyertai acara bedah buku anjuran IPEM.

Sebagai pelajar yang baru hendak menginjak dua tahun berada di Indonesia, saya akui kosa kata saya masih lemah dalam bahasa Indonesia. Walaubagaimanapun, untuk memahami persoalan-persoalan yang diutarakan dalam novel ini tidaklah begitu sukar. Penulis buku ini berjaya mengembangkan cerita di dalam novel ini dengan baik.

Pada pandangan saya, novel yang mengandungi 34 bab ini banyak menceritakan unsur-unsur persahabatan, kehidupan, kebudayaan dan cita-cita yang semuanya menjurus kepada pendidikan. Keseluruhannya, novel hasil adaptasi dari kisah benar yang dialami oleh Andrea Hirata sewaktu kecil ini menarik untuk dibaca.

Berbalik kepada acara bedah buku IPEM yang lepas, pembahas buku ini menyatakan bahawa cara penulisan buku ini adalah bagus dan teknik yang digunakan rapi. Walaubagaimanpun, saudara Aan mula memberi pandangan kontra dengan mengatakan novel ‘best seller’ adalah sekadar novel yang banyak terjual tetapi tidak semestinya novel yang bagus.

Beliau berpendapat penulis buku ini telah menyempitkan skop pendidikan di mana hanya sekolah formal yang dikatakan sebagai pendidikan sedangkan pendidikan luar sekolah tidak dianggap sebagai pendidikan. Beliau juga menyatakan permulaan cerita novel ini tidak sesuai dengan lanjutannya. SD Muhammadiyah digambarkan sebagai sebuah sekolah yang sangat miskin pada awalnya tetapi secara tiba-tiba mempunyai alatan muzik dan buku-buku yang banyak.

Saudara Aan turut menceritakan tentang sebuah saluran televisyen Indonesia yang meninjau sendiri ke daerah Belitong untuk melihat latar cerita di dalam novel ini. Keadaan di Belitong sudah berubah dari apa yang diceritakan, mungkin kerana kemajuan. Sedikit sebanyak timbul juga pertanyaan tentang sejauh mana kebenaran cerita di dalam novel ini.

Perkara yang paling menarik perhatian adalah ketika saudara Aan menyatakan penduduk di Belitong cuba menjadi miskin seperti yang diceritakan dalam novel ini walaupun kehidupan sebenar mereka tidak lagi miskin seperti dulu. Penduduk Belitong cuba menjalani kehidupan yang fiktif daripada nyata. Perkataan ’simulatra’ (simulate dalam bahasa Inggeris) digunakan untuk menggambarkan keadaan mereka.

Sebagai tambahan, buku ini hadir dalam bentuk tetralogi. Mungkin presiden IPEM yang telah habis membaca kesemua tetralogi Laskar Pelangi berminat untuk membahas tentang buku-buku yang lain. Kesimpulannya, pandangan yang pro atau kontra terhadap novel ini bergantung kepada pembacanya. ”Hanya pembaca yang layak menentukan sesebuah karya itu bagus atau tidak”, petikan kata-kata saudara Aan. Sebagai penutup, perbezaan pendapat dalam membahas karya ini sangatlah bagus, sekurang-kurangnya kita mengetahui di mana tahap kita di dalam menilai sesebuah karya.

 Moral of the story: Lebih bagus sekiranya baca dahulu sesebuah buku sebelum sertai acara bedah buku supaya kita tidak hanya menjadi pendengar yang taat.

3 thoughts on “NOVEL LASKAR PELANGI: REVIEW++

  1. Salam,

    mungkin saya tersalah kerana membaca Laskar Pelangi dua tahun lalu, tetapi tidakkah zaman anak-anak Laskar Pelangi latarnya pada tahun 70-an? Novel berkenaan merupakan imbasan semula watak Ikal yang pulang ke kampungnya setelah merantau ke Jawa beberapa lama, sebelum (atau juga selepas, saya lupa) melanjutkan pelajaran ke Sorbonne University di Paris, Perancis.

  2. Pingback: TETAPLAH SEMANGAT UNTUK MENULIS « IPEM

  3. Pingback: Tetaplah Semangat untuk Menulis

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s