Dr. Sheikh Muszaphar Gamatkan Makassar, Indonesia!!!


Tanggal 21 Februari 2010 lalu menjadi kenangan indah bagi pelajar sekolah menengah atas (SMA) Indonesia yang berpeluang untuk bersua muka dengan angkasawan pertama Malaysia, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar. Tidak ketinggalan, pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Universitas Hasanuddin (UNHAS) turut diundang sebagai tetamu di dalam program seminar bersama angkasawan Malaysia tersebut. Hadir sebagai duta Allianze College Medical Sciences (ACMS), Dr. Sheikh Muszaphar diamanahkan memberi seminar berkaitan dengan perjalanan beliau ke angkasa lepas.

Majlis yang bertempat di Baruga A.P.Pettarani UNHAS pada pagi itu dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada Rektor UNHAS, Prof. Dr.dr. Idrus A. Paturusi. Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan teks ucapan Gubernur Sulawesi Selatan yang tidak dapat hadir atas urusan kerja. Selesai sesi ucapan, ACMS diberi ruang untuk menyampaikan sedikit motivasi kepada para pelajar SMA yang hadir di samping mempromosikan peluang-peluang melanjutkan pelajaran di ACMS kepada para pelajar tersebut.

Suasana yang agak suram pada pagi itu mula berubah wajah apabila tiba giliran Dr. Sheikh Muszaphar menyampaikan seminar beliau. Dimulai dengan tayangan video dan gambar-gambar sepanjang perjalanan beliau bergelar angkasawan, hadirin pada hari tersebut melahirkan rasa teruja mereka dengan memberikan tepukan yang amat gemuruh. Riak kegembiraan yang jelas terpancar pada wajah hadirin membuktikan kehadiran angkasawan pertama Malaysia tersebut memang sudah dinantikan sejak dahulu.

Selesai sesi tayangan pembukaan, Dr. Sheikh mula mengambil tempat di atas pentas. Angkasawan Malaysia tersebut berasa amat jauh terpisah dengan penonton ketika memulakan seminar, lantas mengambil keputusan untuk turun dari pentas dan mendekati para penonton. Walau bagaimanapun, tindakan beliau itu mencetuskan ‘histeria’ di kalangan pelajar SMA yang terus menyerbu beliau untuk bersalaman dan mengambil gambar. Dr. Sheikh tampak tenang dan santai ketika mengendalikan peminat-peminat beliau dari Indonesia sambil menyifatkan rakyat Indonesia adalah rakyat yang berani. Acara seminar terhenti seketika ekoran serbuan peminat fanatik Dr. Sheikh sehingga memaksa para petugas menghalang para pelajar SMA dari terus mendekati Dr. Sheikh.

Setelah suasana kembali terkawal, Dr. Sheikh melanjutkan acara dengan paparan video, gambar dan penerangan tentang penglibatan beliau menjadi angkasawan Malaysia yang pertama. Antara perkara menarik yang dipaparkan ialah bagaimana beliau menjalani rutin seperti mandi, makan, minum dan tidur di angkasa lepas.

Dr. Sheikh menerangkan bahawa mandi di angkasa lepas tidaklah sama seperti di bumi. Ini adalah kerana bekalan air yang sangat terhad menjadikan ia begitu berharga. Sifat air yang mudah terapung dan pecah menjadi butiran-butiran air yang halus turut menjadi halangan untuk mandi di angkasa lepas. Ekoran itu, angkasawan yang berada di angkasa lepas hanya mampu mengelap badan mereka dengan tuala basah untuk memastikan kesegaran badan. Dengan menggunakan sedikit air untuk membasahkan rambut, Dr. Sheikh turut memaparkan video cara beliau bersyampu ketika di angkasa lepas.

Hadirin pada seminar tersebut berasa geli hati tatkala Dr. Sheikh memaparkan video cara beliau bersarapan dengan biskut yang terapung-apung. Terang Dr. Sheikh, perjalanan beliau ke angkasa lepas turut mempromosikan makanan dari Malaysia dengan cara menjamu makanan Malaysia di angkasa lepas sambil ditontoni oleh penduduk dunia. Dr. Sheikh turut memberitahu beliau terapung-apung dan berada di hujung kapal angkasa ketika tidur pada hari pertama kerana beliau terlupa untuk mengikat diri beliau sebelum tidur.

Antara misi Dr. Sheikh ke angkasa lepas adalah untuk menjalankan eksperimen. Pasti terdetik di hati kenapa perlunya eksperimen dijalankan di angkasa lepas? Kenapa tidak di bumi sahaja? Dr. Sheikh menerangkan persekitaran dan suasana di angkasa lepas berbeza dengan di bumi. Ini adalah kerana bumi mempunyai daya tarikan gravitinya yang tersendiri manakala angkasa lepas tidak mempunyai daya tarikan graviti. Keadaan inilah yang mempengaruhi hasil eksperimen. Sambil memberikan contoh, beliau menerangkan sel darah kelihatan leper ketika di bumi tetapi ketika di angkasa, kita dapat melihat sel darah dalam bentuk tiga dimensi (3D).

Misi angkasawan Malaysia ke angkasa lepas tidaklah tertumpu pada subjek sains semata-mata. Dr. Sheikh menjelaskan beliau pernah ditanya oleh peserta yang mengikuti seminar beliau tentang persoalan ini. Antara soalan yang pernah ditanyakan ialah apakah sumbangan angkasawan tersebut dalam bidang seni semasa melaksanakan misi ke angkasa lepas? Jelas Dr. Sheikh, sebagai penghargaan untuk golongan seni, beliau membawa baju batik rekaan tempatan ke angkasa lepas. Selain itu, beliau turut menghasilkan puisi ketika di angkasa lepas. Perkara inilah yang menarik perhatian IPEM untuk menulis artikel ini. Untuk pengetahuan, wakil dari IPEM juga sudah berhubung dengan Dr. Sheikh untuk mendapatkan hasil karya ciptaan beliau dan jika diizinkan akan dipaparkan di laman blog IPEM.

Pelaksanaan misi ke angkasa lepas oleh Dr. Sheikh jatuh pada bulan ramadhan.  Ini menjadikan beliau sebagai umat Islam pertama yang berpuasa sekaligus menyambut Hari Raya Aidilfitri di angkasa lepas. Paparan video takbir raya oleh Dr. Sheikh ketika di angkasa lepas sangat menyentuh hati para hadirin. Selain itu, Dr. Sheikh turut menayangkan video sekaligus menerangkan cara bagaimana beliau  bersolat di angkasa lepas. Beliau bertayamum sebagai alternatif kepada berwuduk dengan air.

Suasana yang tadinya terkawal berubah menjadi riuh-rendah apabila tiba sesi soal jawab. Bukan sahaja pelajar SMA Indonesia yang berebut-rebut untuk bertanyakan soalan, bahkan guru pengiring SMA juga tidak ketinggalan berasak-asak dengan para pelajar. Walau bagaimanapun, hanya beberapa orang sahaja yang dibenarkan bertanya ekoran kesuntukan masa. Suasana yang masih belum tenang ketika itu dihangatkan lagi dengan sesi pertanyaan oleh Dr. Sheikh kepada hadirin. Dr. Sheikh mengemukakan beberapa soalan berkaitan seminar yang beliau sampaikan dan para pelajar perlu menjawab soalan tersebut untuk mendapat hadiah yang lumayan seperti komputer riba.

Selesai sesi pertanyaan oleh Dr. Sheikh, maka selesailah sesi bersama angkasawan tersebut. Akan tetapi, Dr. Sheikh masih tidak henti-henti diserbu oleh peminat beliau untuk bergambar. Setelah keadaan kembali terkawal, barulah acara dapat ditutup dengan sempurna. Para pelajar dari Malaysia di UNHAS turut tidak melepaskan peluang untuk bergambar beramai-ramai bersama Dr. Sheikh setelah acara selesai.

Sebenarnya masih banyak perkara menarik yang hendak dikongsi tentang lawatan singkat angkasawan Malaysia ke Makassar, namun hanya intisari penting yang dapat dinukilkan supaya artikel ini tidak terlalu panjang dan membosankan. Sebagai penutup, ingin saya lontarkan pertanyaan kepada pelajar perubatan yang membaca artikel ini. Kita sudah mempunyai doktor yang bergelar Perdana Menteri, kita juga sudah mempunyai doktor yang bergelar angkasawan negara, adakah anda cuma mahu menjadi seorang doktor perubatan sahaja???

-addin-

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s