A. Samad Said – Sasterawan Sepanjang Zaman


Tokoh Sasterawan Negara 1985

SAMAD SAID, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen, kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera. Sumbangan A.  Samad Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan kesusasteraan Melayu yang menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan sesudahnya.

Sejak di bangku sekolah menengah lagi, Samad sudah mulai berkenalan dengan kesusasteraan di dalam dan luar negeri.  Malah, pengarang-pengarang penting di Singapura pun seperti Asraf, Usman Awang, dan Han Suyin telah diketemuinya.  Sajak dan cerpennya mula tersiar sewaktu beliau masih di bangku sekolah.

Beliau menggunting cerpen-cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya.  Kegiatan menterjemah beberapa karya sastera asing juga secara tidak langsung memperkuat minatnya terhadap kesusasteraan.  Segalanya ini membulatkan tekad dan fikirannya untuk berkecimpung dalam bidang penulisan, dan hasilnya, Samad berupaya menghasilkan pelbagai genre: sajak, novel, drama, esei/kritikan dan terjemahan.  Kecenderungannya terhadap dunia sastera telah berakar dan berkembang dalam dirinya sejak kecil lagi apabila beliau selalu mendengar cerita-cerita daripada ibunya.  Daripada pengakuannya yang merendah diri, Samad berkata : “… kalaulah saya diterima sebagai penulis – saya lahir daripada “Batu Belah batu Bertangkup”.  Saya masih tetap mendengar cerita ini walaupun orang yang menceritakannya ketika memandikan saya, menyuapkan makan saya dan menidurkan saya sudah tidak ada lagi.”

Pekerjaan pertama Samad Said ialah sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.  Beliau berasa beruntung bekerja di hospital itu kerana amat sukar baginya mendapat kerja di mana-mana pun pada waktu itu.  Tetapi, di hospital itu, beliau tidak lama bekerja dan hanya dapat bertahan selama enam bulan saja.  Samad kemudian berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat di bawah pimpinan Ahmad Boestamam.

Isterinya, penyair Salmi Manja, seorang penulis yang cukup dikenal oleh peminat-peminat sastera.  Seperti Samad, Salmi juga menulis sajak dan cereka.

Kejayaan A. Samad Said sebagai sasterawan ialah hasil daripada pengalamannya dan berkat kerajinannya membaca karya-karya orang lain.  Dalam karya Samad kita melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang.  Beliau bukan sahaja begitu cermat dan teliti menghadapi dan membentuk watak-watak, tetapi juga terhadap alam, benda hidup dan mati, yang menjadi latar ceritanya.  Beliau seolah-olah mencari erti dalam semuanya itu.  Samad juga sedar bahawa untuk melahirkan karya yang bererti, seseorang tidak hanya bergantung kepada bahan dan bakat kekuatan fikiran sahaja, tetapi pembacaan dan pengalaman yang luas amatlah penting.  Kerana itu, Samad meluaskan pembacaannya kepada bidang politik, sosiologi, ekonomi dan psikologi serta karya-karya besar Li Po, Tu Po dan Rabindranath Tagore.  Cara beliau membaca agak aneh, yakni dengan menggaris atau menanda ayat-ayat, dialog-dialog atau ungkapan-ungkapan yang menarik dalam prosa, novel, dan malahan puisi.  Ini memperlihatkan betapa teliti pembacaan dan pemerhatiannya.  Sikap telitinya ini terpancar juga pada deskripsi dan dalam dialog-dialog karyanya.

Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.  Tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards).  Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985.  Dalam majlis penganugerahan itu, telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit.  Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN    1993 (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam.

Reference:

Dewan Bahasa Dan Pustaka

One thought on “A. Samad Said – Sasterawan Sepanjang Zaman

  1. mampukah diri ini menjadi seperti beliau?? dengan profesi perubatan spt kta?? berpuisi dalam pada masa yang sama??

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s