“Bukan Jalan Karpet Merah….”

Wajah Arif kelihatan sugul dan muram. Tidak ceria seperti selalu, manis dengan senyuman, bersemangat dalam setiap ucapannya. Pandangannya yang selalunya kelihatan teguh kini hanya terlihat lemah. Nampaknya dia sedang memikul beban yang cukup berat dalam jiwanya. Beban perasaan yang mengusir sifat cerianya. Beban yang membuatkan dia berasa derita. Tertekan.

“Kau ada apa-apa masalah kah?” Tanya ku dengan nada suara ingin tahu.

Tadi Arif yang menghubungi ku melalui SMS. Katanya ingin berjumpa di tempat Restoran Impian Rasa. Ada perkara penting yang ingin dibincangkannya. Namun begitu, sudah beberapa minit berlalu. Teh tarik di atas meja, yang dipesannya tadi masih belum terusik.

“Ah, aku rasa berat sangat.” Keluh Arif. Suara Arif kedengaran mendatar, dibayangi kekecewaan. “Aku tak tahulah macam mana nak hadapi semua ini.”

“Kenapa kau putus cinta kah? Hehehe…” Tanya ku sambil ketawa kecil. Sebenarnya Arif tidak ada kekasih atau teman wanita, tapi aku sengaja berjenaka bertanya soalan sedemikian rupa. Arif tiada teman wanita bukan kerana dia tiada peminat atau tidak laku. Ada. Setakat ini sudah ada beberapa orang perempuan meluahkan perasaan cinta kepadanya, tetapi semuanya ditolak atas alasan ingin menumpukan perhatian kepada pelajaran. Itulah tanggungjawab seorang pelajar. Lagipun tidak lama lagi, Arif bakal menduduki peperiksaan STPM.

“Eh, tak adalah.” Sanggah Arif. “Bila masa aku bercinta. Tak pernah-pernah pun.”

“Habis tu, kalau bukan putus cinta, apa masalah yang berat sangat kau cakap tu.” Aku cuba mengorek rahsia sebab dia bermuram semenjak tadi. “Cuba kau luahkan kepada aku. Mana tahu aku boleh tolong kau.”

“Macam ni,” Arif mengatur pernafasannya. “Aku cuba sampaikan di kampung aku, tentang apa yang kita belajar daripada Ustaz Fakhruddin. Mengenai adat yang bercanggah dengan agama, kenduri arwah, amalan timbang anak yang lahir pada bulan safar, menggantung tangkal dan sebagainya.”

“Tapi masalahnya, bila aku cuba sampaikan kepada mereka tentang perkara ini, mereka tolak kata-kata aku. Mereka kata aku ni, masih muda, belum banyak makan garam, dan macam-macam lagi.”

Aku cuba memberikan sepenuh perhatian kepada kata-kata Arif.

“Lebih malang lagi, bukan setakat penduduk kampung, dan jiran-jiran aku yang tolak. Keluarga aku sendiri pun tidak percaya dengan aku, melainkan abang aku seorang saja.” Kata Arif dengan nada kecewa.

Kampung Selayang, tempat tinggal Arif sememangnya cukup terkenal dengan kekuatan adat resamnya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka. Kebanyakan penduduknya kuat berpegang teguh dengan adat. Bak kata pepatah, biar mati anak, jangan mati adat. Oleh itu, apabila Arif cuba menjelaskan kepada orang di sekelilingnya tentang adat-adat mereka yang bercanggah dengan syariat Islam, maka mereka menolak perkataannya. Apatah lagi, Arif cuma seorang anak muda yang masih belajar dalam tingkatan 6. Tidak mudah bagi orang kampung untuk mempercayainya.

“Macam tu, apa diorang kata lagi?”

“Banyak. Aku dengar orang mengumpat aku. Orang cakap aku ni memandai-mandai nak cakap perkara agama, lupa asal-usul bangsa la.” Luah Arif lagi. “Hati mana yang tak berat dikata macam tu…”

Arif mencapai teh tarik yang semakin sejuk di atas meja, dihirupnya perlahan-lahan. Sekali sekala dia menarik nafas yang bernada keluhan.

Aku terdiam mendengar luahannya. Cuba berfikir apa yang patut ku cakapkan kepadanya. Sememangnya perkara yang menimpanya bukanlah semudah di anggap. Meskipun orang disekelilingnya tidak memukulnya, tapi kata-kata orang itu sebenarnya sering kali lebih menyakitkan daripada pukulan. Bak kata pepatah, tikaman lidah itu lebih tajam daripada tikaman pisau. Tikaman pisau, akibatnya berdarah jasad, sedangkan tikaman lidah, hati merana.

“Biasalah tu Arif.” Aku cuba memberikan semangat kepadanya. “Tidak mudah untuk orang terima apa yang kita kata. Lebih-lebih lagi dengan usia kita yang muda macam ini. Begitu ramai orang yang akan pertikai apa yang kita sampaikan.”

Arif mengangguk tanda mengiyakan kata-kata ku, lalu bersuara, “Ya, aku faham. Kebanyakan orang zaman sekarang suka sangat melihat siapa yang berkata-kata untuk menilai ucapannya. Kalau orang tua bercakap semuanya ‘ya’, bimbang dikatakan derhaka. Sebaliknya, kalau orang muda pula yang berkata, hampir semuanya tidak mahu di dengar!”

“Begitulah silapnya masyarakat sekarang. Terlalu bersikap berat sebelah.” Aku mengkritik sikap sesetengah orang dalam masyarakat yang suka menolak dan menerima kata-kata orang tanpa usul periksa. Mereka cuma mendengar kata-kata orang tua, sedangkan kata-kata orang muda dipandang sebelah mata saja.

“Inilah tabiat jalan dakwah ya Arif.” Aku berkata lagi. “Jalan dakwah bukanlah seperti apa yang kita sangka. Ianya bukan jalan yang mudah dan senang. Bukan pula seperti jalan di karpert merah yang ditaburi bunga-bungaan, yang disambut oleh ramai orang dengan sorakan. Tapi inilah jalan para nabi dan rasul. Jalan yang penuh ujian dan dugaan.”
Arif tersenyum mendengar kata-kataku. Kekecewaan dan kesugulan pada wajahnya hilang sedikit demi sedikit.

Aku menambah lagi, “Dahulu Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat mendapat ujian yang lebih teruk daripada kita. Kalau kita hari ini cuma ditentang dengan kata-kata. Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat dahulu, bukan setakat ditentang dengan kata-kata, malah musuh-musuh mereka menghunus senjata. Ahli keluarga sendiri, sanggup dibunuh, asalkan Islam dapat dihapuskan!”

“Kebanyakan ketua penentang dakwah Rasulullah s.a.w terdiri daripada ahli keluarga baginda s.a.w sendiri. Abu Jahal pernah suatu ketika memberikan tawaran yang amat lumayan bagi sesiapa yang dapat membunuh Rasulullah s.a.w!”

Aku cuba memberikan perbandingan antara ujian, tentangan dan dugaan yang kami hadapi dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat ketika zaman awal permulaan Islam. Cukup jauh berbeza. Umpama langit dan bumi.

“Benarlah kata mu ya sahabat!”

“Bersabarlah Arif.” Nasihatku agar dia bertahan dengan apa yang dilaluinya. “Mungkin sekarang ini, mereka tidak dapat terima apa yang kau sampaikan kepada mereka. Tapi, insya’ Allah pada masa depan akan ada antara mereka yang dapat terima kata-kata kau tu.”

Untuk menghadapi jalan dakwah dan menyebarkan Islam yang murni, bukanlah mampu diraih dengan bersenang-lenang. Seseorang yang hendak menceburi dakwah perlulah mempersiapkan diri daripada segi mental yang kuat dan positif. Dakwah bukanlah tugas orang lemah, tapi ianya memerlukan kekuatan jiwa.

“Saya cadangkan dalam tempoh ini, kamu kurangkan sedikit seruan kamu. Tapi jangan sampai terhenti sama sekali. Dalam berdakwah ini, kita perlu berhikmah, bijak dan mempunyai strategi.” Aku memberikan cadangan.

“Apa kata kalau kamu cuba ajak rakan-rakan sebaya kamu atau yang hampir dengan kamu supaya turut serta dalam kuliah Ustaz Fakhruddin nanti? Daripada situ mereka akan belajar sendiri. Lama-lama nanti, akan ramai juga mereka yang faham agama di kampung kamu.”

“Bagus juga cadangan kamu tu.” Kata Arif, gembira mendengar cadanganku. “Mungkin saya akan bawa abang saya nanti dan ada dua orang lagi sepupu saya untuk ikuti kuliah Ustaz Fakhruddin di rumahnya. Lagipun mereka nampak mudah terima apa yang saya sampaikan!”

Hatiku lega melihat senyuman yang terukir dibibir Arif. Nampaknya dia sudah ceria seperti biasa. Sebenarnya Arif bukan tidak tahu tentang apa yang ku sampaikannya sebentar tadi. Dia juga tahu. Namun, sudah lumrah manusia adakalanya dia memerlukan orang lain untuk menasihati dirinya. Orang yang dimintai nasihatnya pula, wajib ke atasnya untuk memberikan nasihat kepada orang yang meminta nasihat semampunya.

“Assalamu’alaikum!”

Tiba-tiba terdengar suatu suara menghentikan perbuatan antara aku dengan Arif. Seorang lelaki separuh usia sedang berjalan menghampiri kami dengan senyuman mesra. Wajahnya putih berseri, pakaian kemas dengan kopiah putih dikepalanya. Ustaz Fakhruddin. Ustaz Fakhruddin pun menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan.

“Wa’alaikumsalam ustaz!” Jawab ku dan Arif serentak, lantas menyambut tangan yang dihulurkan oleh Ustaz Fakhruddin.

“Apa ustaz buat di sini?” Tanya Arif.

“Oh, ustaz baru balik daripada kerja tadi. Ustaz fikir nak singgah beli barang dekat Pasar Raya Lintas tadi.” Jelas Ustaz Fakhruddin.

“Kamu pula buat apa dekat sini berdua?” Giliran Ustaz Fakhruddin pula bertanya. “Nampak rancak perbualan kamu tadi! Ada perkara menarikkah?”

“Eh, tak adalah. Biasa saja. Kami cuma berbual tentang keadaan dakwah di kampung Selayang tempat Arif tinggal!” Jawabku ringkas sambil mempersilakan Ustaz Fakhruddin duduk dikerusi yang berada bersebelahan denganku.

“Oh, mengapa dengan kampung Arif. Ada masalahkah?” Ustaz Fakhruddin dengan nada ingin tahu.

Seorang pelayan mendekati meja tempat kami berada untuk mengambil pesanan, lalu beredar. Aku dan Arif pun menceritakan tentang perkara yang kami bualkan sebentar tadi kepada Ustaz Fakhruddin. Ustaz Fakhruddin kelihatan gembira mendengarnya.

“Bagus Arif!” Puji Ustaz Fakhruddin. Dia kagum dengan semangat Arif untuk menyebarkan pengetahuan dan penghayatan Islam di kampungnya.

“Sekarang ini tidak ramai orang Islam yang berminat dan cuba untuk mendalami Islam. Kebanyakan umat Islam yang berada diperkampungan, mereka sukar untuk membezakan yang mana satu adat, dan mana satu pula syariat. Mereka keliru. Ada di antara mereka yang berfikir adat yang mereka amalkan selama ini adalah syariat juga.” Ustaz Fakhruddin menambah lagi.

“Ya, macam tu lah ustaz!” Kata-kata Ustaz Fakhruddin dibenarkan oleh Arif. “Mereka membela dan mempertahankan adat, seolah-olah syariat itu adalah agama. Mereka memandang orang yang cuba mengubah adat itu adalah seperti orang yang cuba mengubah agama!”

“Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Masyarakat perlu disedarkan syariat Islam yang sebenarnya. Bukannya Islam yang ditokok-tambah dengan perkara-perkara yang baru.” Aku berkata menyatakan kebimbangan melihat keadaan sesetengah masyarakat yang begitu kuat berpegang dengan adat, meskipun ianya bercanggah dengan Islam.

Jam sudah menunjukkan jam 6 petang. Aku, Arif dan Ustaz Fakhruddin pun bersurai, memandangkan setengah jam lagi waktu solat fardhu Maghrib akan masuk. Di dalam fikiran kami berfikir dan terus berfikir, usaha yang perlu dilakukan bagi menyebarkan penghayatan Islam yang murni pada orang yang disekeliling kami. Semoga Allah s.w.t akan membantu dakwah ini, sebagaimana yang dijadikannya dalam surah Muhammad, ayat 9, bahawa Dia akan membantu orang-orang beriman yang berjuang untuk menegakkan agama-Nya.

Ayat Al-Qur’an yang digunakan dalam kisah di atas:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad: 7)

:
karya asal:Suhili bin Nain.

Hidup Cuma Senafas….

Sudah lama laman ini tidak terisi dengan pengisian suci lantaran batasan waktu yang mengehadkan pancainderaku untuk menyampaikan wadah tatkala fardhu kifayah lebih mendambakan perhatian dariku. Namun sisa-sisa waktu kurniaan Ilahi pasti ku gunakan sebaiknya agar ia tidak terisi angan-angan kosong yang menjadi faktor kegagalan muslimin dan muslimat hari ini.

Malam tadi, sebelumku melelapkan mata, aku sempat membelek helaian-helaian buku yang kupinjam dari rakan seperjuanganku. Ku lihat kulit depan buku itu sepintas lalu- “Soal Hati” hasil karya Mohd Afendi Mat Rani. Lantas, persoalan bermain di fikiranku, “apakah yang cuba disampaikan oleh penulis berdasarkan judul tersebut?”. Ku biarkan persoalan itu bermain di benak fikiranku, kerna ku pasti jawapannya ada di dalamnya. Lantas ku lihat sepintas lalu isi kandungannya. Bab 32 buku tersebut menarik perhatianku-”Faktor Kegagalan Manusia: Panjang Angan-angan”. Subhanallah, aku segera memuhasabahkan diri ini kerna ku rasa angan-angan sering menjadi temanku kebosanan menjengah, sayugia kelapangan tidak terisi tarbiyah Ilahi. Mudah-mudahan, Allah menjauhkan diri ini dari kelalaian dan kealpaan dunia yang sementara.

“Seseorang yang mempunyai banyak angan-angan menghalang dirinya daripada melakukan segala kebaikan dan membawa kepada kejahatan dan fitnah” – Soal Hati, 134

Tatkala kita lebih memilih nafsu dan hati, syaitan semakin girang mendorong kita. Angan-angan palsu menjadikan hati manusia keras dan alpa akan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

“Berlalulah masa yg panjang atas mereka dengan panjang umur dan angan-angan, lalu hati mereka menjadi keras” – Surah al-Hadid:16

Bagaimana hati ini bisa dilembutkan???

Hati manusia bisa dilembutkan tatkala sering mengingati kematian, kubur, pahala, dosa, azab Allah dan urusan akhirat. Sebagaimana kata-kata Imam al-Ghazali:

‘Kalau kamu memanjangkan angan-angan, maka kuranglah taat kamu kepada Allah, terlambatlah untuk bertaubat, banyaklah perkara maksiat yg akan kamu lakukan, bertambahlah tamak haloba, keras hati dan besarlah kelalaian kamu. Lalu akhirat akan berlalu pergi tanpa bekalan”.

Nauzubillah….

Sahabatku, mahukah kita pulang ke akhirat tanpa bekalan? Dapatkah kita bayangkan betapa pedih dan azabnya saat nyawa ditarik dari hujung kaki sampai ke ubun-ubun rambut? Sedangkan Rasulullah SAW yang nyawanya ditarik dengan penuh kelembutan oleh Malik Izrael itu masih merasakan kesakitan, inikan kita yang hanya manusia biasa, yang tidak punya kemaksuman, yang saban hari bergelumang dosa. Apa yang bakal kita jawab tatkala Malaikat Mungkar dan Nakir menyoal amalan kita di alam barzakh kelak? Mampukah kita menyelamatkan jasad kita tatkala binatang-binatang berbisa: ular, kala-jengking, lipan mengelilingi jasad kita di alam barzakh kelak? Apakah yang akan diperakukan oleh pancaindera kita di akhirat kelak? Sesungguhnya pancaindera kita lebih taat kepada Allah SWT, mereka adalah saksi akan perlakuan kita di dunia ini. Kita yang seringkali mengheret mereka bersama ke arah kelalaian dan kemungkaran ar-Rabb.

Subhanallah…

Pasti sahabat-sahabat semua mengimpikan kesudahan yang baik, ”Khusnul Khatimah”. Oleh itu, kembalilah sahabatku, kembalilah pada kebenaran, segeralah kita meninggalkan kebatilan dunia yang penuh muslihat syaitan. Tinggalah segala kemungkaran, sayugia rahmat Allah pasti sentiasa memayungi hambaNya yang bertaqwa.

Pahlawan Islam ternama, yang pertama memeluk Islam, juga menantu kesayangan Rasulullah SAW, iaitu Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata:

“Sesungguhnya yang paling aku takuti terhadap diri kamu ada dua, panjang angan-angan dan mengikut hawa nafsu. Ketahuilah bahawa panjang angan-angan melupakan akhirat dan mengikut nafsu akan memalingkan drpd kebenaran. Jika fikiran dan kebanyakan urusan hidup kita tertumpu pada percakapan dunia, sebab-sebab kehidupan, dan hal-hal urusan persahabatan dan lain-lain, maka hati kamu akan menjadi keras”

Nauzubillah…semoga amalan kita sentiasa mencegah kita dari bersifat demikian..

Ingatlah sahabatku, dunia ini hanya sementara, akhirat jua yang kekal abadi, berpada-padalah dalam menguruskan hal duniawi. Justeru, akhirat jua yang kekal abadi. Maka, kejarlah yang abadi agar kita mendapat redha Ilahi.

Isa ibn. Maryam mengatakan mengatakan setiap kita hanya memiliki tiga hari :

“…dunia itu hanya tiga hari sahaja. Kelmarin yg berlalu dan tiada satu pun drpdnya yang tertinggal di tangan kamu. Esok kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak? Maka hari ini yang kamu sedang berada padanya, maka hendaklah kamu merebut peluang keuntungan drpdnya”.

Auf bin Abdullah pula mengatakan usia kita hanya sehari :

“…betapa ramai orang yg sihat melalui satu hari, tetapi dia tidak sempat menghabiskannya kerana dijemput ajal. Betapa ramai yg menunggu esok hari tetapi tidak sempat menemuinya.”

Abu Zar al-Ghifari pula mengatakan usia kita hanya tiga saat sahaja :

“…dunia ini hanya tiga saat sahaja. Saat yg berlalu, saat yg kamu berada padanya dan saat yg kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak. Maka sebenarnya kamu tidak memiliki melainkan satu saat sahaja, kerna maut itu datang drpd saat ke saat.”

Tetapi Abu Bakar al-Warraq menyatakan, kalau usia itu tiga saat ia sebenarnya dikira panjang kerna usia manusia sebenarnya bukan tiga hari, bukan sehari, bahkan bukan juga tiga saat, tetapi hanya tiga nafas sahaja.

“…dunia ini hanya tiga nafas sahaja. Nafas yang telah berlalu, nafas yg kamu kerjakannya iaitu nafas yg kamu sedang berada padanya, dan nafas yg kamu tidak mengetahui sama ada kamu sempat dengannya atau tidak. Berapa ramai orang yg bernafas lalu dikejutkan oleh maut sebelum sempat bernafas yg lain. Maka sebenarnya kamu tidak memilik melainkan satu nafas sahaja, bukan satu hari atau satu jam.”

Oleh yg demikian, kita semua haruslah bertaubat dalam nafas yg pertama kerna mungkin kita tidak sempat untuk bernafas pada nafas yg kedua.-Soal Hati:135.

Maut itu terlalu hampir dan paling dekat dengan kita. Tiada yg lebih dekat melainkan maut. Justeru, sama-samalah kita memuhasabahkan diri ini yg sering kali leka tatkala iman manusia itu seperti roda, kadangkala di atas, kadangkala di bawah. Mohonlah pada Allah agar kita diberi ketetapan iman dan keteguhan hati agar kita mampu memilih kebenaran dan menolak kebatilan.

Wassalam….

P/s: Sebahagian daripada isi artikel ini adalah petikan daripada “Soal Hati”, hasil karya:Mohd Afendi Mat Rani

By IPEM Posted in Uncategorized

Kesibukan dunia yang sementara.

Pagi ini, aku bangun dengan linangan air mata..
entah kenapa.
perkataan yang seringkali berulang di dalam kotak fikiranku.

“kematian sentiasa mengintaimu dari jendela..”

aku sebak.

mungkin kerana terlalu sibuk dengan aktiviti harian.
sehinggakan lupa untuk duduk bersimpuh dihadapan Allah.
memuji kebesaranNya..
memohon keampunanNya..
mengingat kembali nikmat-nikmatNya yang sentiasa mengalir tanpa henti..

sejak kebelakangan ini,
sering juga aku bermimpi menziarahi saudara-saudaraku, guru-guruku yang
sudah tiada di alam ini.

mungkin juga Allah ingin mengingatkanku.
kematian itu akan hadir pada bila-bila masa sahaja.
adakah berbaloi kesibukan ini jika pengakhirannya hanyalah di neraka?
adakah berbaloi jika kesibukan ini tiada redha dan rahmat disisi Allah?

naudzubillahi minzalik..

terkadang, kesibukan ini membuatkan kita terlupa asas-asas kehidupan kita.
sebagai seorang anak, sahabat, juga yang paling penting sebagai seorang hamba
kepada RabbNya.
terkadang kita lupa bahawa masa ini adalah milik Allah, bukan milik kita sepenuhnya.
juga kita selalu terlupa bahawa kehidupan kita ini disusun oleh Allah.
kita tiada hak dan kuasa untuk menyusun hari-hari kita sepenuhnya.
kalau Allah hendak matikan kita,
bila-bila masa sahaja Dia boleh ambil kembali HaqNya.

Rugilah, jika masa yang sekejap ini pengakhirannya bukan di Syurga.
kerana kemenangan yang sebenar bukanlah apabila cita-cita kita tercapai seperti mendapat kerja yang professional dan sebagainya.
Tetapi kemenangan yang sebenar adalah apabila saat kaki kita bertapak di Syurga ALLAH SWT..

Pengorbanan Suatu Perjuangan (Qurban – 10 Zulhijjah 1432H)

Hidup ini untuk memberi,
Mengajar kita untuk menghargai,
Merasa indah tatkala menikmati,
Suatu yang akhirnya dihayati.

Hidup bukan ibarat mainan,
Ianya suatu perjuangan,
Simbolik kepada kekuatan,
Demi sebuah pengabdian kehidupan.

Adakah kita mampu mencontohi kisah pengorbanan Nabi Ibrahim seorang yang taat akan perintah Allah dan Nabi Ismail seorang anak yang soleh? Tepuk hati, tanya diri…

“Letakkanlah harta dan segala keperluan di telapak tanganmu, bukan di hatimu, kerna penghuni hati itu seharusnya iman dan taqwa..”

Walau disini kita merai,
Ingatlah saudara di Palestin kini,
Bagaimana nasib mereka saban hari,
Berhujankan darah bermandikan mati….

By IPEM Posted in Uncategorized

Syair Imam Syafie berkenaan sabar

Bersabar lah yang indah

Alangkah dekatnya kelapangan

Barangsiapa muraqabah (merasa dekat dengan) Allah dalam seluruh urusan, ia akan berhasil

Barangsiapa yang membenarkan Allah, tidak akan terbawa gangguan

Dan barangsiapa yang mengharapkanNya, Dia akan ada di mana orang itu mengharap

(Manaqib AsSyafie , AlBaihaqi 2/362)

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amatlah berat kecuali bagi orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 45)

Di Penghujung Ramadhan Ini, Adakah Kita Merenung…?

Subhanallah…. Allah masih memberikan kita kesempatan dan kesehatan sehingga kita masih bertemu dengan penghujung Ramadhan, di mana malam-malamnya teramat istimewa dan di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. Hari ini, adalah hari ke-25 Ramadhan dan insyaAllah malam yang ke-26. Sungguh merupakan waktu yang tepat bagi kita untuk mengintrospeksi kembali ibadah-ibadah kita, iman kita, ketulusan niat kita, do’a kita.

Mungkin banyak yang sudah dikabulkan do’anya oleh Allah, namun ada juga yang diuji kesabarannya dengan belum terkabulnya do’a-do’a karena kurang keyakinan pada Allah. Ada yang ibadahnya terus meningkat, dan ada pula yang semakin lama semakin menurun karena godaan perayaan Idul Fitri. Ada yang punya perencanaan Pertahanan Kualitas & Kuantitas Ibadah ba’da Idul fitri. Ada juga yang merasa lega, karena target-target ibadah yang menjadi beban akan segera terlepas.

Sungguh… kita harus merenungi kembali hari-hari Ramadhan yang telah terlewati. Jika memang kita benar-benar ingin mencapai derajat “TAKWA”, maka mestinya kita tidak terlena dengan godaan-godaan di penghujung Ramadhan. Diskon barang-barang belanjaan yang menggugah hati, perabotan & furniture rumah model baru, baju baru, kue-kue, dan godaan lainnya, membuat ibadah-ibadah yang kita harapkan berbuah pahala, malah menjadi sia-sia. Padahal Allah menjamu kita dengan begitu spesial di penghujung Ramadhan ini. Allah menjanjikan surga, perlindungan dari api neraka. Dan ketulusan ibadah kita akan benar-benar diuji ketika hari-hari terakhir Ramadhan.

Salah satu tanda kesuksesan Ramadhan kita adalah…. adanya komitmen untuk menindaklanjuti ibadah yang meningkat, seperti tilawah, shaum, Qiyamul Lail, dan ibadah lainnya. Coba kita pikir, di bulan Ramadhan ini kita diuji dengan kondisi tubuh yang lemah (karena menahan lapar dan dahaga sejak pagi hingga petang), namun harus menunaikan ibadah yang luar biasa. Shalat wajib lebih khusyu’ dan disertai rawatib, shalat tarawih, shalat tahajjud, tilawah lebih banyak dari biasanya. Tidur kita pun harus berkurang waktunya karena harus bangun malam. Biasanya kita tidur 6 jam, di bulan Ramadhan mungkin menjadi 4 jam. Dan ternyata… kita mampu menjalankan semuanya dengan baik, shaum jalan, tarawih jalan, ibadah yang lain jalan. Maka, menjalankan ibadah dengan lebih baik di bulan selanjutnya adalah sungguh sebuah keniscayaan. Karena jika tidak, maka itu adalah sebuah indikasi bahwa ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadhan hanyalah berupa target-target dan menjadi beban.

Segala puji bagi Allah… yang masih memberikan kita kesempatan untuk hidup sampai dengan hari ini. Semoga kita bisa meraih kemenangan pada 1 Syawal nanti, mencapai derajat takwa, menjadi fitri… bersih seperti bayi yang baru terlahir dari rahim ibunya. Maaf lahir dan batin.

*”Terdiam dalam kata”

Satu malam yang dinanti.

Bumi berputar pada paksi,

Mentari menyusur dan bulan menunjuk diri,

Bintang dan bulan berlalu pergi,

Tanda hari berganti,

Bukti kuasa Ilahi.

 

Mentari menemani,

Tiada lagi hari-hari ghalib,

Walakin menjauhi fitrah,

Patuh taat padaNya,

Rutin tanpa beza.

 

Bulan dan bintang menghiasi langit,

Fardhu pasti sudah,

Sunat tidak alpa.

 

Dalam kesunyian malam,

Dengar cengkerik berlagu rentak,

Nyaman bayu memenuh dada,

Dahi si alim menyentuh tanah,

Sujud dalam zuhud,

Merendah diri memuji yang Maha Tinggi,

Mencari keredhaan yang belum pasti.

 

Masa kian singkat,

Makin gementar di qalbu,

Sendirian di malam-malam istimewa,

Berteman wati di bawah lampu.

 

Terawikh dan Witir,

Tahajjud, Taubat dan Tasbih,

Zikir ke Subuh,

Berlalu dini hari dhuha mengganti,

Al-Kitab dikhatam lagi.

 

Si alim terus mencari,

Mencari dan mencari,

Malam dijanjikan Ilahi,

Lailatul Qadar pasti jadi,

Satu malam yang dinanti.

 

walakin(walaupun begitu) tetapi

ghalib : biasa

 

Penulis: Zulakmar Hazwan – www.notafikir.com

Sumber: Artikel iluvislam.com

 

Malamnya yang lebih baik dari 1000 bulan.

 

By IPEM Posted in Uncategorized

Ramadhan Menamatkan Perhambaan Diri

khutbah-hajah-ramadhan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Kurang seminggu, kita akan menerima kunjungan bulan Ramadhan yang dinanti-nanti. Bulan yang menyediakan segala kebaikan, dilimpahi dengan segala kemuliaan, dihiasi dengan segala ketaatan, bulan manusia membangunkan diri mereka demi mengejar nilai TAQWA, sebagaimana yang dipesankan saban minggu di atas mimbar Jumaat ini.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183:

2_183

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas dirimu, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa”

Namun tidak semua manusia dengan mudah, dapat memahami apa yang dikehendaki oleh Allah melalui ibadah ini.

Sejarah mencatat, pada tahun 1961 umat Islam digemparkan apabila Presiden Tunisia pertama, Habib Bourguiba, telah mengeluarkan perintah melarang rakyatnya, terutama dari kalangan kakitangan awam daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Untuk menunjukkan tahap keseriusan beliau dengan perintah ini, Habib Bourguiba telah muncul bersama anggota kabinetnya secara langsung di televisyen pada tengah hari Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai dengan mesej, “kami memaksudkan apa yang kami kata!” Continue reading

By IPEM Posted in Uncategorized